Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Peserta Program Pembangunan Eksekutif diraikan
04/05/2024

mjpm_040524.jpg

Program-program Pembangunan Eksekutif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam merupakan program 'flagship' Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi (Institutional Development Strategy). 

Antara tujuan CSLP adalah untuk menyediakan Leadership Pool dalam kalangan pegawai-pegawai Bahagian II ke atas bagi membantu Perancangan Strategik Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam (PA). 

Modul-modul program berkenaan diselaraskan dengan kompetensi kepimpinan yang telah dikenal pasti melalui Model CSLP berdasarkan amalan-amalan terbaik dalam pembangunan kepimpinan. 

Kesemua program 'flagship' CSLP bagi tahun 2023 telah dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA). 

Pihak IPA juga buat julung-julung kalinya telah berkolaborasi bersama Lee Kuan Yew School of Public Policy bagi pengendalian EDPSGO-30. 

Kandungan program-program berkenaan antara lainnya memuatkan pengajian isu dan dasar semasa, serta amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran PA yang dipraktikkan secara global. 

Selain itu, para peserta juga diberikan pendedahan secara praktikal melalui penempatan kerja, projek kemasyarakatan, lawatan sambil belajar serta sesi dialog bersama tokoh-tokoh pemimpin di Negara Brunei Darussalam. 

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kali Ke-30, Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kali Ke-33 dan Ke-34 serta Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-7 dan Kohort-8, Tahun 2023 berlangsung petang tadi di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh salah seorang peserta EDPSGO-30, iaitu Pengetua, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit. 

Seramai 27 peserta EDPSGO-30; 28 peserta EDPMMO-33; 28 peserta EDPMMO-34; 28 peserta YEP-7 dan 29 peserta YEP-8 telah menerima sijil yang disampaikan oleh tetamu kehormat pada majlis berkenaan. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pengarah PA, Dr. Awang Norfarizal bin Othman dan diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis. 

Sejurus itu, klip video turut ditayangkan memaparkan aktiviti-aktiviti semasa program-program pembangunan eksekutif berkenaan berlangsung. 

Juga hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri di JPM; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; dan ketua-ketua jabatan yang berkenaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​